KOTA TINGGI – Seorang suri rumah maut selepas kenderaan dinaiki melanggar belakang sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit di Felda Semenchu malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.07 malam itu, mangsa, Rosnah Tumiran, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut yang melibatkan Perodua Alza dan sebuah lori dimana menyebabkan penumpang wanita kereta berkenaan maut.
“Mangsa merupakan suri rumah beralamat di Felda Air Tawar 4. Ketika kejadian, mangsa bersama suami dan anak perempuannya berusia 17 tahun dalam perjalanan dari rumah di Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Semenchu.
“Punca kemalangan disyaki pemandu Perodua Alza gagal mengawal kenderaannya hingga melanggar bahagian lori jenis Daihatsu yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala suami dan anaknya dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Izwani Abd Hamid berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak membuat penyelamatan mangsa yang tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan perubatan di lokasi. – KOSMO! ONLINE