JOHOR BAHRU – Simpan dadah dalam kediaman berpengawal serta berpagar sebelum menggunakan kenderaan milik ahli keluarga untuk edar yang ditempah pelanggan.
Itu modus operandi yang digunakan satu sindiket pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Bagaimanapun taktik yang dilakukan sindiket itu sejak Disember tahun lalu dapat dihidu sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, hasilnya seramai sembilan individu termasuk tiga wanita diberkas dalam sembilan siri serbuan yang dilakukan bermula 8 Februari sehingga semalam di Johor Bahru, Kota Tinggi serta Mersing.
Menurutnya, daripada sembilan individu yang ditahan masing-masing berusia 19 hingga 34 tahun itu, sepasang suami isteri dan seorang penjawat awam turut diberkas.
“Suami isteri yang diberkas berusia lingkungan 24 hingga 27 tahun manakala penjawat awam pula berusia 33 tahun. Kesemua mereka terlibat adalah anggota sindiket yang bertindak sebagai pengedar.
“Mereka simpan dadah dalam rumah berpagar dan ada pengawal keselamatan serta anggota sindiket kemudian akan edar dadah menggunakan kenderaan-kenderaan yang disita ini. Ada juga mereka simpan dadah dalam kereta yang kita rampas ini,”katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, antara dadah yang berjaya dirampas adalah 24.69 kilogram (kg) syabu, heroin (35.5 kg), ketamin (337 gram), 2,540 biji pil eramin 5 selain 1.20 liter air ketum dan nilai rampasan adalah RM1.046 juta.
Ujarnya, selain itu, polis turut merampas enam buah kenderaan pelbagai jenama termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Velfire selain empat buah motosikal bernilai RM653,566.
Katanya, barang kemas serta pelbagai wang tunai turut disita berjumlah RM14,566.
“Daripada sembilan suspek, seorang wanita didapati positif dadah jenis ketamin selain empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.
Beliau memberitahu, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 8 hingga 14 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE