KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan empat fokus utama bagi transformasi luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian itu memberi penekanan dari segi prasarana di luar bandar, program modal insan, program keusahawanan dan juga ekonomi.
Katanya, daripada keempat-empat bidang fungsi itu juga, KKDW akan melakukan 22 program dan juga 19 perancangan perubahan bagi perkembangan luar bandar.
“Apabila kementerian ini dijenamakan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, tentunya beliau mempunyai jangkaan yang tinggi dari segi pencapaian untuk kita menuju ke arah memberikan kepuasan kepada kumpulan sasaran iaitu masyarakat desa.
“Justeru itu, saya akan mengumumkan dari semasa ke semasa mengenai 22 program ‘quick wins’ dan 19 ‘game changers’ itu, tetapi apa yang penting bukanlah pengumuman sebaliknya pelaksanaan dan kita mesti lakukan tindakan susulan terhadap semua saranan yang dibincangkan serta mengerjakan ‘task force’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Bengkel Hala Tuju Strategik Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu diambil berikutan pihaknya sedar kementerian itu selama ini telah diberikan bajet antara yang terbesar dan ukuran terhadap kepuasan telah dilihat dari segi penghasilannya.
“KKDW juga berhasrat untuk merapatkan jurang perbezaan di antara luar bandar dan bandar atau pinggir bandar dan kita berhasrat supaya tidak berlaku apa yang dipanggil sebagai migrasi atau perpindahan sama ada secara mobiliti sosial mendatar kerana tiada banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan.
“Maka kita mesti mengambil langkah mewujudkan peluang pekerjaan itu termasuk peluang untuk menjadi usahawan dan juga beberapa perubahan lain agar kita dapat menggunakan tenaga tempatan untuk memajukan kawasan luar bandar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE