fbpx

Ibu dua beradik maut tidak mampu berkata-kata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Ibrahim (tiga, kiri) menamani keluarga mangsa termasuk ibu mangsa dua beradik (tiga dari kanan) di perkarangan Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di Rompin hari ini.

ROMPIN – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di sini yang dihadiri keluarga waris tiga mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin malam tadi.

Keluarga mangsa yang berasal daripada Felda Selendang 1 yang menunggu sejak awal pagi tadi dilihat dalam keadaan bersedih ekoran kemalangan meragut nyawa tiga wanita termasuk dua beradik itu.

Ibu dua beradik yang maut juga kelihatan tidak dapat menahan kesedihan dan menangis ketika menunggu proses bedah siasat serta tidak mampu berkata apa-apa ketika ditemui.

Ketua Peneroka Felda Selendang 1, Mohamad Ibrahim berkata, keluarga kesemua mangsa telah bersetuju untuk dikebumikan dalam satu liang lahad.

Katanya, urusan menggali liang lahad telah dilakukan dan sedang menanti jenazah selesai dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Selendang 1 petang ini.

Terdahulu, tiga termasuk dua beradik maut selepas kereta jenis Perodua MyVi yang dinaiki mereka dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin malam semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Suhada Ramli, 22, dan kakaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Nazira Ramli, 23 dan seorang penumpang belakang, Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI