Kemelut dalam UMNO bukan lagi rahsia. Abang long dalam Barisan Nasional itu dilihat orang semakin menuju penghujung usia. Menanti rebah.
Pemecatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Noh Omar dan beberapa tokoh lain yang dibuat baru-baru ini menambah lagi episod resah.
Sepatutnya jasad UMNO menjadi seperti teknologi. Berkembang seiring dengan peredaran zaman yang mana ia dapat menakluk hati-hati orang yang semakin menyedari kepincangan politik dan kepentingannya mencorak masa depan negara.
Untuk mendapat jasad yang kuat, dalaman atau roh UMNO perlu dikukuhkan terlebih dahulu. Ia ibarat panglima yang memberikan kata semangat kepada tenteranya sebelum berperang.
Minda ‘dibakar’ dengan perkara-perkara berkaitan pertiwi, masa depan dan natijah kekalahan. Apabila semangat melonjak, tentera akan berlawan habis-habisan demi sebuah kemenangan.
Sekarang ini, roh UMNO seakan menghilang. Roh perjuangan semata-mata untuk rakyat kini tinggal di bibir dan tidak lebih hanya sekadar ketika berucap di dewan persidangan.
Parti yang sudah mencapai usia 77 tahun itu masih gagal untuk memulihkan keyakinan rakyat. Syok sendiri ketika melakukan apa sahaja termasuk ketika berhimpun di Pusat Dagangan Putra di Kuala Lumpur.
Pengendali kerajaan selama 41 tahun sejak zaman Tunku Abdul Rahman hingga Datuk Seri Najib Tun Razak itu kini ibarat hendak karam.
Mereka mengharapkan ihsan daripada parti lain agar tidak hilang daripada radar politik.
Apa sebenarnya yang terjadi? Di mana hilangnya pengalaman dan semangat membela anak bangsa yang pernah ditunjukkan oleh pemimpin terdahulu? Rakyat mahukan hidup yang tenteram dan aman ketika semua sedang berdepan dengan kemelut kewangan.
Apa yang Kerajaan Perpaduan lakukan ketika ini tidak lebih daripada menyambung apa yang telah dimulakan oleh kamu. Tiada bezanya. Apa yang berlainan ialah karisma dan gaya kepimpinan selain menggunakan kekuatan media sosial.
Penulis sama sahaja seperti pengundi atas pagar yang lain kerana kita ini bukanlah ahli mana-mana parti politik. Tiada langsung sekelumit perasaan teruja ketika memangkah kertas undi.
Mengundi sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang mahu melihat politik negaranya stabil.
Cuma, apa yang kita kesalkan ialah Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia dan lantang membidas isu Palestin dan mempertahankan minyak sawit di pentas antarabangsa kini seakan tercari-cari taring dan kukunya sendiri.
Takkanlah UMNO yang merupakan parti paling lama memerintah Malaysia masih belum menemui resipi untuk kembali menjadi kegemaran rakyat. Mereka perlukan hero bagi menyelamatkan diri mereka sendiri. Tetapi persoalannya siapa?