LONDON – Chelsea terus dihimpit kemarau kemenangan apabila catatkan keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut ketika terikat 1-1 dengan West Ham United di Stadium London, sebentar tadi.
Selepas dipalit layangan kad merah pada debutnya semasa menentang Fulham, 13 Januari lalu, Joao Felix kembali ke dalam kesebelasan utama Chelsea dan kehadirannya bersama seorang lagi pemain baharu, Enzo Fernandez jelas beri impak positif kepada persembahan The Blues.
Sekalipun aksi bermula agak seimbang, Chelsea seakan hanya memerlukan tempoh lima minit untuk menyerlahkan kualiti sebenar dan minit ke-9, Felix berjaya menggegar gawang lawan sebaliknya gol itu dibatalkan kerana penyerang dari Portugal berkenaan terlebih dulu dikesan offside.
Tujuh minit selepas itu, Felix akhirnya menceriakan kem The Blues apabila bijak meloloskan diri sebelum menyempurnakan umpanan berkualiti daripada Fernandez.
Bagaimanapun, kelekaan barisan pertahanan Chelsea pada minit-28 mengundang padah apabila Emerson Palmieri meledak gol penyamaan untuk memastikan 45 minit pertama berakhir seimbang.
Walaupun daripada segi penguasaan lebih berpihak kepada The Blues, West Ham juga beberapa kali berjaya mencipta situasi cemas buat pertahanan lawan namun aspek penyudah terus menghadirkan kekecewaan.
Kemasukkan Danny Ings bagi menggantikan Michail Antonio pada minit ke-67 menambahkan kualiti jentera serangan West Ham dan memaksa Chelsea tampil lebih berhati-hati dalam setiap gerakan yang diatur.
Minit ke-82, Tomas Soucek berjaya menceriakan penyokong tuan rumah buat seketika sebelum pengadil perlawanan, Craig Pawson membatalkan jaringannya kerana semakan pada Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati ada pemain West Ham berada di kedudukkan offside. – KOSMO! ONLINE.