fbpx

Litar Sepang bakal ditutup pada Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Franco Morbidelli pada sesi ujian rasmi pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini. FOTO- FARIZ RUSADIO / KOSMO!

SEPANG – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menaik taraf keadaan permukaan litar bermula pada Mac nanti bagi memastikan litar di sepanjang 5.54 kilometer (km) itu selamat digunakan terutama ketika menganjurkan perlumbaan MotoGP di Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung pada November nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, penurapan litar tersebut tidak membabitkan keseluruhan di sepanjang 5.54 km dan hanya melibatkan kira-kira 1 kilometer di Selekoh 7, 8 dan 9.

Katanya, kerja-kerja penurapan baharu tersebut sepatutnya dilakukan pada 2021, namun disebabkan Covid-19 pihaknya terpaksa menangguhkan sementara sebelum membuat keputusan untuk melakukan tahun ini atas saranan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Kali terakhir SIC menaik taraf litar sepanjang 5.54 kilometer tersebut adalah pada tahun 2016 dan selepas itu tiada sebarang penurapan baharu dilakukan pada litar tersebut.

“Kerja naik taraf permukaan litar tidak dilakukan sepenuhnya dan hanya melibatkan beberapa tempat iaitu di Selekoh 7,8 dan 9. Seperti sedia maklum, litar ini seperti stadium bola sepak dimana pada satu-satu masa perlukan penyelenggaraan.

“Kita lihat ada beberapa tempat yang perlu dinaik taraf, jadi kita perlukan bantuan kerajaan untuk membantu kita untuk memastikan litar ini dalam keadaan baik. Lagipun, untuk menurap litar ini bukan murah kerana untuk menurap sepanjang 5.54 km itu memerlukan kos kira-kira RM20 juta.

“FIM juga pernah beri pandangan mengenai perkara tersebut, jadi kita perlu baiki permukaan litar ini sebelum kita memulakan perlumbaan MotoGP yang membuka tirai pada November nanti.

“Jika mendapat kelulusan kita rancang untuk tutup litar ini pada Mac nanti dan buka semula pada Mei untuk memastikan keadaan litar benar-benar bersedia untuk digunakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI