fbpx

Syad kuat berangan, mahu jadi pelakon profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAD beranggapan adalah mustahil untuk dia kembali kepada bidang kejuruteraan kerana sudah selesa dengan kerjaya sekarang.

KESUKARAN mendapat kerja selepas tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal menyebabkan gadis Pesona Ahad minggu ini terjun dalam bidang peragaan.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, percubaan Syadiyatul Qistina Abdul Mutalib, 26, membuahkan hasil.

Berbekalkan azam yang tinggi untuk bergelar perso­naliti media sosial, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu ditawarkan sebagai pengacara program dan berlakon bagi sebuah stesen televisyen tempatan tahun lalu sekali gus membuatkan gadis itu semakin dikenali ramai.

Kepada Kosmo! Ahad, gadis yang mesra disapa Syad berkongsi mengenai diri, karier dan peran­cangan masa depannya.

Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai latar belakang Syad
Saya melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang. Selepas tamat pengajian, kebetulan pandemik Covid-19, agak sukar hendak cari kerja jadi saya beralih bidang lain dan bergelar model, pengacara dan pelakon sepenuh masa.

Adakah sukar apabila bera­lih bidang?
Selepas tamat belajar, saya bekerja dalam bidang pemasaran dan media sosial. Sejak itu minat saya terarah untuk mencipta kandungan digital sebelum menyertai peragaan. Pada mulanya secara separuh masa, tetapi apabila pendapatan dite­rima lumayan, saya ambil tawaran secara sepenuh masa. Tambahan pula, saya memang kuat berangan sejak kecil. Untuk beralih ke bidang kejuruteraan, agak mustahil sebab sudah selesa dengan kerjaya sekarang.

SYAD

Bagi Syad adakah pendidikan itu penting?
Tidak kira ke mana hala tuju selepas tamat belajar, bagi saya pendidikan itu penting. Saya tidak salahkan orang muda jika tidak mahu sambung belajar dan memilih menjadi pempengaruh, mungkin mereka terpengaruh dengan apa yang dilihat. Yang penting ke arah yang positif.

Apa kenangan yang tidak boleh dilupakan?
Ketika belajar, saya berdepan stigma masyarakat mengenai penyertaan wanita dalam bidang kejuruteraan. Ramai cakap bidang ini sesuai untuk lelaki. Semasa menjalani latihan industri, ada yang memandang rendah terhadap keupayaan wanita.

Apa yang Syad lakukan pada waktu lapang?
Saya suka bertinju, biasanya dua kali seminggu. Saya bertinju untuk kekalkan berat badan dan menggembirakan diri sendiri. Bila lakukan aktiviti lasak, saya jadi gembira dan lebih bersemangat untuk melakukan kerja harian.

Ciri-ciri lelaki idaman Syad?
Lelaki itu perlu menghormati kaum wa­nita, tidak kira sesiapa sahaja. Kalau ada pendidikan itu bonus sebab bagi saya pasangan sekufu itu penting. Sekufu tidak bermaksud pada pendidikan atau harta semata-mata, tetapi dari segi agama, cara pemikiran dan kefahaman.

Siapakah awak dalam masa 10 tahun lagi?
Mungkin bergelar seorang pelakon profesional. Sekarang, saya terlibat dalam lakonan, tetapi banyak lagi yang saya belum terokai. Berlakon tidak sama se­perti bidang peragaan kerana melibatkan kemahiran yang memerlukan pembelajaran sepanjang masa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI