MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola kekal dengan motivasi tinggi untuk raih keputusan baik ketika menerima kunjungan Aston Villa di Etihad, awal pagi esok biarpun dipalit skandal penipuan kewangan kelab itu.
Bagaimanapun, nama Daniel Levy menjadi topik utama sepanjang sidang media praperlawanan apabila Guardiola tidak menolak andaian mengatakan pengerusi Tottenham Hotspur itu sebagai watak utama yang mengheret siasatan ke atas City berhubung pelanggaran peraturan kewangan.
“Pergi tanya pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Daniel Levy,” katanya apabila ditanya adalah beliau yakin pendakwaan itu dicetuskan oleh kelab pesaing dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Semua 19 pasukan perlu jadikan contoh. Kami perlu berhati-hati pada masa depan selepas apa yang mereka lakukan. Banyak kelab boleh membuat cadangan dan ada juga kelab yang boleh dituduh seperti yang kami hadapi sekarang,” katanya.
City kini berdepan dakwaan oleh Liga Perdana Inggeris berkaitan lebih 100 tuduhan melanggar peraturan kewangan sejak 2009 hingga 2018.
Sekiranya didapati bersalah, City berpotensi dikenakan hukuman berat iaitu penolakan mata, membayar pampasan dan paling teruk boleh disingkirkan daripada saingan EPL.
Pada 2020, City pernah dikenakan penggantungan dua tahun oleh UEFA kerana kesalahan sama, namun keputusan dibuat pentadbir bola sepak Eropah itu terbatal selepas kelab itu membawa kes ke peringkat Mahkamah Timbang Tara (CAS).
“Kelab ini membuktikan mereka tidak bersalah dan apa yang berlaku kali ini juga sama ketika kes babitkan UEFA. Kami sudah pun berdepan kutukan tanpa beri ruang kepada kami untuk pertahankan diri,” jelasnya.
– AGENSI