SEPANG – Juara MotoGP enam kali, Marc Marquez belum berpuas hati selepas menyifatkan tiada sebarang perubahan mendadak dapat dirasainya ketika turun menguji jentera Honda pada aksi pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumba Sepanyol tersebut mengakui jentera prototaip RC213V 2023 yang dibina Honda masih ketinggalan selepas melakukan 58 pusingan di Sepang apabila hanya mampu mencatat satu minit 59.424 saat untuk berada di kedudukan ke-12 terpantas.
Ini bukan kali pertama Marquez memberi maklum balas negatif pada jentera Honda kerana sewaktu ujian di Valencia pada November tahun lalu, dia turut mengakui jentera tersebut tidak mampu mencabar kejuaraan pada 2023.
Pada sesi ujian tersebut, Honda membawa empat jentera ke Sepang iaitu sebuah jentera RC213V versi 2022 dan dua jentera model 2023, manakala satu lagi jentera dengan komponen-komponen baharu bagi tujuan ujian.
“Pendapat saya ketika ini adalah konsep jentera lebih kurang sama sewaktu di Valencia. Selepas menguji dengan komponen baharu, hanya karakter yang berbeza, tetapi catatan lebih kurang sama ketika ini.
“Saya mampu menunggang dengan gaya yang berbeza, tetapi prestasi jentera tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Tiada kelainan, jadi kami perlu bekerja keras agar tidak ketinggalan jauh dengan pelumba di hadapan,” katanya.
Pada sesi ujian pertama di Sepang, pelumba pasukan VR46, Marco Bezzecchi mencatat masa terpantas satu minit 58.470s diikuti Maverick Vinales (Aprilia) di kedudukan kedua terpantas dan Enea Bastianini (Ducati Lenovo Team) tempat ketiga.
Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin berada di tempat keempat dan diikuti juara dunia musim lalu, Francesco Bagnaia berada di kedudukan kelima.
Sesi ujian di Sepang adalah penting bagi setiap pasukan untuk mengembangkan jentera bagi mencari pelarasan yang sempurna sebelum turut memulakan saingan pembukaan musim baharu di Grand Prix (GP) Portugal pada 27 Mac nanti. – AGENSI