fbpx

Sindiket pelacuran didalangi ‘Mummy Indonesia’ tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita warga asing ditahan selepas menawarkan aktiviti pelacuran pada harga RM400 hingga RM500 sejam dalam satu serbuan Khamis lalu. FOTO IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Taktik sebuah sindiket didalangi seorang wanita warga negara Indonesia digelar ‘Mummy’ yang berperanan menjaga dan menguruskan wanita-wanita warga asing menjalankan aktiviti pelacuran dengan caj antara RM400 hingga RM500 sejam tumpas Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 9 Februari lalu.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran yang didalangi warga asing dan menahan 36 individu.

“Pasukan operasi menyerbu tiga buah pusat hiburan dan rumah transit di Selangor serta Kuala Lumpur, hasilnya seramai 36 orang individu berusia antara 18 hingga 34 tahun ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 27 wanita Indonesia, dua wanita Vietnam, empat wanita Thailand, seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pelanggan selain dua lelaki tempatan penjaga premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Mengulas lanjut katanya, wanita terbabit dilaporkan masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial yang diberikan untuk tujuan melancong tetapi menyalahgunakannya demi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Selain itu, mereka ditahan turut dikesan menggunakan Pas Lawatan Sosial (pasangan kepada warga negara), Pas Lawatan Sosial (pengiring kepada pesakit), Pas Penggajian sebagai terapi spa selain memiliki dokumen Akuan Penerimaan bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK),” katanya.

Menurutnya, sindiket juga dilaporkan berjaya mengaut keuntungan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta dengan menggunakan modus operandi menjanjikan pekerjaan untuk dijadikan pekerja seks.

“Bagi urusan kemasukan wanita terbabit, mereka dipercayai perlu membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada pihak ejen.

“Semakan melalui sistem JIM ke atas semua tahanan mendapati lima orang warga asing terdiri daripada seorang wanita Vietnam dan empat wanita Indonesia turut berada dalam senarai hitam,” tegasnya.

Jelasnya Khairul Dzaimee, pelanggan juga perlu membayar antara RM400 hingga RM500 sejam
bagi mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan antara pukul 10 malam hingga 3 pagi.

“Pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram,” jelasnya.

Mereka yang diperiksa dan ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan warganegara asing telah ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor, manakala dua lagi suspek warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan di bawah akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI