fbpx

Gempa Turkiye: Keajaiban selepas 100 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. Seorang gadis berjaya diselamatkan selepas lebih 100 jam terperangkap di celah runtuhan di Antalya selepas gempa bumi kuat berlaku pada Isnin lalu. - Foto Anadolu Agency/GettyImages

ANKARA, Tukiye – Pasukan penyelamat mengeluarkan sebilangan mangsa dari bawah runtuhan akibat gempa bumi Turkiye-Syria semalam ketika angka korban menghampiri 24,000 orang, manakala cuaca dingin musim sejuk menambah penderitaan berjuta-juta penduduk dengan ramai antara mereka terdesak memerlukan bantuan.

Kira-kira 110 jam selepas gempa bumi pertama berlaku, Izzet Bekir, 47, ditarik keluar oleh anggota-anggota penyelamat dari bawah runtuhan bangunan lima tingkat di kejiranan Mustafa Kemal, bandar Hatay.

Pasukan penyelamat masih berusaha menyelamatkan isterinya, Ferah dan anak-anak mereka iaitu Resit, 6, dan adiknya Can yang berumur lima tahun.

Dogan dan Temanur Konac, kedua-dua mereka berusia dalam lingkungan 50-an, diselamatkan selepas terperangkap di bawah serpihan selama 109 jam di daerah Antakya oleh pasukan penyelamat.

Di daerah sama, seorang ibu dan tiga anaknya diselamatkan 108 jam selepas gegaran pertama tetapi bapanya, Alpaslan, masih hidup di bawah serpihan runtuhan, menurut pasukan penyelamat yang cuba membawanya keluar.

Seorang warga asing berusia 30 tahun yang tidak dikenali diselamatkan di kawasan sama selepas 111 jam terperangkap, manakala Selma Gunes, 62, ditemui masih hidup di bawah runtuhan bangunan selepas 108 jam di Antakya.

Pasukan penyelamat di wilayah Samsun yang menghadap Laut Hitam di Turkiye pula berjaya menarik keluar seorang wanita bernama Leyla yang terperangkap selama 108 jam di bawah bangunan runtuh.

Turut diselamatkan ialah Done Gul Bitmis, 46, yang terperangkap 112 jam di celah runtuhan bangunan tujuh tingkat.

Juga di Antakya, Zahide Kaya yang sedang hamil diusung keluar selepas terperangkap selama 115 jam dan sebelum itu, seorang lagi mangsa ditarik keluar 105 jam selepas gempa bumi pertama berlaku.

Seorang remaja perempuan berasal dari Syria, Fatma, 14, turut diselamatkan di Kahramanmaras 104 jam selepas gempa berlaku. Seorang lelaki ditarik keluar dari celah runtuhan selepas 105 jam terperangkap.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter dan gempa kedua bermagnitud 7.7, berpusat di wilayah Kahramanmaras, Turkiye itu menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Di daerah Nurdagi, wilayah Gaziantep pula, Miray Karatas yang berusia sembilan tahun telah diselamatkan kira-kira 108 jam kemudian. Ibu, bapa, dan adik perempuannya bagaimanapun terkorban dalam bencana itu.

Sekurang-kurangnya 870,000 mangsa gempa di Turkiye dan Syria memerlukan makanan pada kadar segera selepas bencana berlaku. Di Syria sahaja, gempa bumi berganda itu mengakibatkan sekitar 5.3 juta penduduk hilang tempat tinggal, demikian menurut amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Angka korban meningkat akibat gegaran susulan yang menyusul selepas gempa bumi pertama bermagnitud 7.8 berlaku. Siri gempa susulan itu turut menambah penderitaan mangsa yang masih hidup.

“Apabila saya melihat bangunan-bangunan musnah, mayat-mayat, ia bukan bermakna saya tidak dapat menjangkakan nasih saya dalam masa dua atau tiga tahun lagi. Sebenarnya, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada diri saya esok.

“Kami hilang 60 anggota keluarga besar kami . 60! Apa lagi yang dapat saya katakan? Ini semua takdir Tuhan,” kata Fidan Turan yang merupakan seorang pesara di bandar Antakya, selatan Turkiye sambil berlinang air mata.

Dalam perkembangan berkaitan, Program Makanan Dunia (WF) merayu bantuan berjumlah AS$77 juta (RM333.6 juta) bagi menyediakan bekalan makanan kepada sekurang-kurangnya 590,000 pelarian baharu akibat gempa bumi di Turkiye dan 284,000 lagi di Syria.

Daripada jumlah itu, seramai 545,000 orang menjadi pelarian di negara sendiri, manakala 45,000 yang lain ialah pelarian sebenar.

Pegawai-pegawai menyatakan bahawa sejumlah 12,141 bangunan di Turkiye sama ada rosak teruk atau musnah akibat gempa bumi pada Isnin minggu lalu. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI