PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) membulatkan tekad untuk menangani isu kemiskinan malnutrisi yang dihadapi kanak-kanak sekolah berikutan dilihat mampu memberi kesan kepada teras pertumbuhan fizikal dan kognitif kumpulan berkenaan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu akan menjadi keutamaan KPM dengan turut berharap agar isu malnutrisi dalam kalangan murid dapat diatasi sejak peringkat awal umur persekolahan.
“Kemiskinan malnutrisi dihadapi kanak-kanak sekolah mampu memberi kesan kepada teras pertumbuhan fizikal dan kognitif mereka, maka ia menjadi keutamaan kami di KPM untuk menanganinya.
“Justeru saya bersama Nurul Izzah Anwar serta pegawai nutrisi telah turun ke Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat bagi melihat sendiri menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan pihak kantin sekolah,” katanya dalam ciapan Twitter tadi.
Fadhlina berkata, KPM juga sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan program itu yang mana ia diharapkan dapat membantu mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan murid di peringkat umur awal persekolahan.
“Adalah menjadi harapan KPM dan dalam unjuran belanjawan negara di masa hadapan, aspek nutrisi serta pemakanan sihat untuk kanak-kanak menjadi keutamaan dalam pembinaan Negara Madani,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE