fbpx

Mangsa gempa bumi bertahan hidup minum air kencing sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan menghembus nafas lega apabila bertemu ibunya selepas diselamatkan. - Independent.co/IHA

ANKARA – Seorang remaja lelaki yang diselamatkan dari bawah runtuhan konkrit selepas gempa bumi kuat melanda Turkiye, bertahan hidup dengan minum air kencingnya sendiri, lapor akhbar Mirror UK semalam. 

Mangsa ditemui lebih 100 jam selepas gempa berlaku, manakala harapan untuk menemui lebih ramai mangsa masih hidup di bawah runtuhan kini pudar.

Beribu-ribu kanak-kanak merupakan sebahagian daripada hampir 24,000 orang yang terkorban dalam gempa bumi dahsyat yang menggegarkan Turkiye dan Syria Isnin lalu.

Saudara-mara mangsa menangis kesyukuran ketika anggota penyelamat menarik keluar Adnan Muhammed Korkut, 17, dari ruang bawah tanah di bandar Gaziantep, dekat pusat gempa. 

Remaja itu terperangkap hampir lima hari dan terpaksa minum air kencingnya sendiri.

“Syukur ibu pun selamat,” kata Adnan apabila berjumpa ibunya.

Seorang anggota penyelamat dikenali sebagai Yasemin memeluk Korkut sambil berkata: “Saya mempunyai seorang anak lelaki seusia kamu. Saya bersumpah tidak tidur empat hari kerana cuba mengeluarkan kamu.”

Dalam pada itu, pasukan penyelamat turut mengeluarkan Yagiz Komsu, 4, dari bawah runtuhan bangunan kira-kira 105 jam selepas gempa berlaku. Mereka kemudian menyelamatkan ibunya, Ayfer Komsu yang cedera.

Orang ramai yang menyaksikan operasi menyelamat di bandar Adiyaman itu diminta tidak bersorak bagi mengelak daripada menakut-nakutkan mangsa. 

Seorang bayi berusia 10 hari dan ibunya turut diselamatkan hampir empat hari selepas sebuah bangunan runtuh. Bayi bernama Yagiz itu menghabiskan hampir separuh hayatnya di bawah timbunan konkrit di wilayah Hatay.

Jeritan meminta tolong semakin pudar beberapa hari lepas gempa  yang disebut oleh presiden Turkiye, Recep Tayyi Erdogan sebagai ‘bencana abad ini’.

Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang diikuti tsunami telah membunuh lebih 18,400 orang di wilayah Fukushima, Jepun pada 2011. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI