fbpx

Motosikal bapa kena tarik, cikgu Fadli ‘belanja’ motosikal baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi oleh Cikgu Fadli di laman Facebooknya.

PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu nasib dialami oleh sebuah keluarga apabila terpaksa berjalan lebih lapan kilometer sehari agar anak mereka dapat menimba ilmu.

Sebelum ini, keluarga tersebut mempunyai sebuah motosikal, namun sejak beberapa minggu lalu, motosikal mereka ditarik oleh pihak bank selepas lebih empat bulan tidak menjelaskan ansuran bulanan.

Berkongsi kisah sedih itu, Mohd. Fadli Salleh atau lebih dikenali Cikgu Fadli berkata, bapa kepada keluarga tersebut adalah seorang penghantar makanan, namun selepas motosikal ‘ditarik’ dia tidak mampu meneruskan pekerjaan itu.

Jelas Fadli, pekerjaan bapa tersebut adalah pendapatan utama keluarga dan motosikal itu juga digunakan untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah.

“Motosikal si ayah kena tarik beberapa minggu lepas akibat tertunggak empat bulan. Masa tu dia tengah buat ‘job grab’. Sumber pendapatan utama keluarga.

“Lepas hantar barang, pergi tempat ‘parking’, motosikal hilang. Ada orang bagi surat tunggakan beribu jumlahnya. Terduduk si ayah, motosikal kenderaan utama untuk cari makan kena tarik,” tulisnya di laman Facebook.

Fadli berkata, walaupun tiada motosikal bapa tersebut tetap menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan pada hari orentiasi semalam lelaki tersebut bersama isterinya datang mendengar taklimat dan tunggu sampai habis program.

Ujarnya, tidak ramai ayah yang sanggup datang hari orientasi, biasanya wakil ibu sahaja.

“Bagus semangat si ayah walau dia sendiri tak ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Aku cukup suka orang seperti ini, menjaga hak anak-anak dan pentingkan pelajaran.

“Habis program tadi, aku suruh dia tunggu depan pagar sekolah. Aku hantar keluarga mereka pulang, sebaik dia nak turun aku tahan, abang ikut saya, kakak dan anak naik rumah lah,” ujarnya.

Menurut Fadli dia telah membawa lelaki itu ke sebuah kedai motosikal di Batu Caves dan telah membeli sebuah motosikal baharu untuk keluarga terbabit.

“Masa pulang tadi, berkali-kali dia ucap terima kasih cikgu, saya tak tahu nak balas budi cikgu macam mana, saya doakan cikgu terus murah rezeki.

“Budi ini bukan untuk dibalas. Budi ini untuk abang kembalikan pada orang lain bila abang senang sikit di hari akan datang. Dan sumbangan ini bukan dari poket saya seorang. Doakan semua penyumbang ya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI