SEPANG – Semua pembeli kediaman LBS Bina Group Berhad (LBS) berpeluang memenangi ubah suai rumah bersama syarikat tilam terkemuka, Goodnite Group (Goodnite) bernilai RM150,000.
Tawaran ini adalah sempena program kesetiaan pelanggan ‘Ubah Suai Rumah LBS bersama Goodnite’ di mana pemilik kediaman LBS secara eksklusifnya bakal berpeluang untuk memenangi ganjaran tersebut.
Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim berkata, program dengan kerjasama Goodnite ini adalah yang pertama seumpamanya dilakukan dan ia adalah sebagai salah satu penghargaan kepada semua pembeli rumah LBS.
Menurutnya, program kesetiaan tersebut adalah terbuka kepada semua pembeli rumah LBS dan pemenang bertuah berpeluang untuk mengubahsuai dengan pilihan reka bentuk ruang tamu sehingga ke set bilik tidur dianggarkan bernilai RM25,000.
“LBS sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Justeru, kempen ini dilihat sebagai satu inisiatif yang memberi manfaat kepada semua pihak baik LBS, Goodnite dan juga pelanggan.
“Kami juga berbesar hati kerana dapat bekerja dengan jenama yang begitu dihormati dan juga menempatkan jenama tilam terbaik di Malaysia iaitu Goodnite,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen ‘Ubah Suai Rumah LBS bersama Goodnite’ di KITA @Cybersouth di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Urusan Kumpulan Goodnite, Teo Yek Ming dan duta kempen yang juga pelakon, Siti Saleha.
Mengulas lanjut, Datuk Cynthia berkata, selain kerjasama dengan pihak Goodnite, pihaknya merancang untuk berkolaborasi bersama beberapa jenama terkemuka lain pada masa akan datang.
“Melalui kerjasama strategik ini, kita berpeluang untuk melihat pemilik rumah LBS bertuah mengubah suai rumah mereka.
“Pemilik rumah boleh memilih ruang atau bahagian rumah yang difikirkan sesuai untuk mendapat sentuhan ubah suai serta penataan perabot yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yek Ming berkata, kempen bersama LBS ini adalah merupakan platform terbaik bagi pihaknya memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali produk-produk Goodnite.
“Ini kerana di awal penubuhan, Goodnite hanya mengeluarkan tilam untuk individu dan projek komersial bagi sektor kediaman dan bukan kediaman.
“Berikutan pertumbuhan yang stabil dalam jualan dan permintaan, kami telah mempelbagaikan penawaran produk kami dalam bidang perabot.
“Saya yakin pemenang bertuah yang bakal memenangi pakej ubah suai ini akan kagum dengan reka bentuk dan kualiti produk- produk kami,”jelasnya.
Sebagai makluman, semua pemilik rumah di projek-projek LBS secara automatik layak untuk menyertai kempen ubah suai tersebut.
Untuk terpilih sebagai pemenang bertuah, pemilik rumah LBS hanya perlu mengambil gambar ruang tamu, ruang makan atau bilik tidur yang difikirkan perlu pengubahsuaian.
Kemudian muat naik gambar tersebut ke homemakeover.lbs.com.my, melengkapkan slogan dan ikuti serta klik ‘suka’ di platform laman media sosial, Facebook dan Instagram LBS.
Kempen ini berlangsung dari 3 Januari sehingga 30hb April depan.-KOSMO! ONLINE