PETALING JAYA – Pelawak Ali Puteh terkilan apabila pendedahan mengenai penemuan barangan mencurigakan yang dipercayai membabitkan ritual mistik di kediaman arwah abangnya, Abam Bocey dijadikan bahan jenaka oleh netizen.
Katanya, pihak yang mentertawakan serta menyindirnya mungkin belum pernah berhadapan bahana sihir hingga sanggup melemparkan sindiran terhadapnya.
“Ada yang ejek ini sebagai jenaka, ada yang komen ini rekaan. Siap tulis jangan lupa tambah garam dalam masakan.
“Tidak kena pada anda semua, kalau kena pada yang komen tahulah semua. Baru tahu apa yang kami sekeluarga rasa,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Menurut pemilik nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan itu, ‘barang’ dimaksudkan sudah dipulangkan kepada pemilik asal.
“Ini barang jangan dibuat main. Pada si penabur jangan risau. Kita dah pulangkan ‘barang’ kamu. Kita tak berminat dengan barang kamu.
“Semoga Allah beri keampunan,” katanya lagi.
Begitupun, ruangan komen pada hantaran tersebut ditutup.
Semalam, pelawak berusia 33 tahun itu dalam temu bual dengan sebuah akhbar mendakwa kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd. Ali, meninggalkan beberapa barang seperti garam kasar, limau dan lain-lain dipercayai untuk upacara tertentu.
Dakwa Ali lagi, wanita itu yang datang ke rumah arwah Abam di Gombak, Selangor dengan ditemani peguamnya mempunyai tujuan lain yang dapat dibuktikan menerusi penemuan barangan tersebut.
Daripada tinjauan, video berhubung dakwaan penemuan tersebut telah dibuang dalam Instagramnya.
Semalam, Hidayah yang juga balu Abam berkongsi video menerusi TikTok mengenai kedatangannya ke rumah yang pernah didiami bersama suaminya itu tetapi tiada sesiapa membuka pintu walaupun sudah menunggu sejam.
Dalam hantaran tersebut, dia juga meminta pihak Ali menyegerakan bayaran sebanyak RM60,000 seperti diputuskan mahkamah pada 28 Disember tahun lalu berhubung keputusan rayuan kes saman fitnah.
– KOSMO! ONLINE