fbpx

Ali Puteh belum bayar Hidayah RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKONGSIAN Hidayah ketika melawat rumah tinggalan arwah suaminya semalam sempena tahun ketiga pemergian Abam.

PETALING JAYA – Kemelut antara balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd. Ali dengan adik iparnya, Ali Puteh dan keluarga arwah belum berkesudahan apabila pelawak tersebut belum membuat bayaran sebanyak RM60,000 seperti diperintahkan mahkamah.

Kata ibu kepada seorang anak itu, pihak terbabit hanya mendiamkan diri daripada melunaskan bayaran yang diputuskan mahkamah pada 28 Disember tahun lalu berhubung keputusan rayuan kes saman fitnah.

Menurut Hidayah, 30, peguamnya sudah memberi tempoh selama 21 hari kepada pihak terbabit untuk melunaskan bayaran ditetapkan selain menyerahkan kunci rumah di Gombak yang dibeli suaminya.

Menerusi perkongsian video dalam TikTok, Hidayah yang ditemani peguamnya datang ke kediaman tersebut semalam iaitu genap tiga tahun pemergian Abam.

Begitupun, perasaan kecewa dirasai apabila tiada sesiapa membuka pintu sehingga mereka terpaksa menunggu sekitar sejam sedangkan di dalam rumah dipercayai ada penghuni.

“Abang, sayang datang rumah kita tapi kalian nilaikan sendiri. Kalian boleh tengok sendiri rumah kami jadi apa. Sedih sangat-sangat. Dayah datang bersama peguam.

“Tengok ini, ada kereta, motosikal dan kasut tetapi tiada siapa jawab salam atau keluar. Saya dah sejam di sini,” dedahnya.

Menerusi hantaran sama, Hidayah turut menunjukkan keadaan sekeliling kediaman berkenaan yang tidak terurus dengan dipenuhi semak-samun di bahagian tepi rumah.

“Rumah macam hutan. Sedih tengok keadaan rumah. Sedih sangat-sangat datang dengan perasaan hampa. Datang rumah sendiri tapi tak dibagi masuk,” tulis wanita itu lagi.

Tidak lama selepas perkongsian Hidayah, Ali menerusi Instagramnya memuat naik video mendakwa berlaku perbuatan khurafat di kediaman arwah apabila mendapati terdapat taburan garam dan kulit limau dipercayai sihir.

Meskipun tidak menyebut secara jelas si pelaku, ramai netizen mendakwa pendedahan tersebut ditujukan kepada Hidayah.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut sudah dipadam Ali selepas menerima serangan bertalu-talu netizen yang mendakwa dia sengaja mereka cerita memandangkan kulit limau sudah mengering, manakala garam pula selalunya digunakan untuk melindungi kediaman daripada perkara halus.

Terdahulu, pada 28 Disember tahun lalu, Ali gagal dalam rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kepada Hidayah kerana memfitnah dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu.

Kemelut antara wanita itu dengan keluarga Ali tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan akibat demam panas pada 10 Februari 2020.

Pada Mei 2020, Hidayah menyaman Ali berhubung kenyataan dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya, antara lain menggambarkan wanita itu sebagai seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka arwah suami.

Pelawak itu dengan tiga ahli keluarganya turut menfailkan saman terhadap usahawan kosmetik, Aliff Syukri dan kakak iparnya atas dakwaan berkonspirasi bersama niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan serta memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam YouTube. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI