PETALING JAYA – Hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di empat negeri pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, antara negeri yang terlibat adalah Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Di Pahang antara kawasan yang dijangka mengalami cuaca berkenaan adalah Pahang Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin.
“Bagi Selangor pula, ia melibatkan daerah Hulu Langat, manakala di Negeri Sembilan ia membabitkan kawasan Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol,” ujar MetMalaysia.
Beralih ke negeri Johor kata MetMalaysia, keadaan cuaca sama akan melanda kawasan sekitar Segamat, Mersing, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE