PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya mengeluarkan lima lagi mangsa gempa bumi dari runtuhan bangunan tujuh tingkat di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye.
SMART menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, lima mangsa tersebut melibatkan tiga lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.
“Kaedah ‘cutting & breaking’ menggunakan peralatan khas pasukan SMART. Operasi amat rumit dan berbahaya memandangkan struktur tidak stabil.
“Mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia. Salam takziah,” kata SMART hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan SMART berjaya mengeluarkan tiga mangsa gempa bumi di lokasi yang sama, namun kesemuanya telah meninggal dunia.
Mangsa tersebut masing-masing terdiri daripada seorang wanita, lelaki dan kanak-kanak yang terperangkap serta mengambil masa dua jam untuk dikeluarkan menggunakan peralatan khas. – KOSMO! ONLINE