fbpx

Lelaki ‘kantoi’ seleweng diesel guna Toyota Estima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Toyota Estima yang disita selepas dipercayai digunakan untuk mengangkut diesel dari stesen-stesen minyak tertentu khususnya di sekitar Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Dua lelaki diberkas selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi termasuk menggunakan Toyota Estima dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, suspek pertama ditahan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen di Jalan Kulim, kira-kira pukul 5 petang.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu kemudian membawa kepada penemuan satu unit tangki simpanan tambahan berkapasiti 900 liter dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipandunya.

“Ketika diperiksa, terdapat kira-kira 300 liter diesel bersubsidi yang telah diisi ke dalam tangki simpanan tersebut. Kami percaya pemandu MPV itu mendapat upah ratusan ringgit setiap hari untuk membeli diesel dari beberapa buah stesen minyak di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPT).

“Diesel itu kemudian akan dihantar kepada kumpulan sindiket terbabit yang seterusnya akan menjualnya pula kepada pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jegan memberitahu, MPV berkenaan disita bersama beberapa barangan lain termasuk satu unit pam motor dan hos, satu unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM300 serta diesel yang dirampas itu dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM41,345.

Sementara itu katanya, seorang lagi lelaki diberkas ketika sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, kira-kira pukul 9.40 malam tadi.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut terhadap lori itu kemudian menemui sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 2,000 liter di bahagian belakang (lori) yang berisi 460 liter diesel.

“Daripada maklumat yang kita terima, lelaki berusia 50-an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama yang ditahan,” jelasnya.

Dalam serbuan kedua itu, pihaknya turut menyita sebuah lori jenis Nissan, minyak diesel, pam motor dan hos paip, telefon bimbit, tangki tambahan serta invois belian diesel yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM37,089.

Tambah Jegan, kedua-dua kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI