OTTAWA, Kanada – Sebuah syarikat teknologi kepintaran buatan (AI) menghasilkan model piawaian kecantikan untuk lelaki dan wanita dari pelbagai negara di seluruh dunia, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Firma kesihatan dan kecantikan, NordChem melakukan kajian dengan menggunakan aplikasi AI dinamakan Mid Journey untuk menghasilkan wajah manusia yang cantik.
Data kajian telah diambil dan dikumpulkan dari seluruh laman web untuk mencipta piawaian kecantikan manusia.
Teknologi itu mengambil imej ALT (teks alternatif) yang dijana melalui pengguna, serta tanda pagar dari beberapa sumber seperti Instagram, Facebook dan saluran media lain untuk melakar imej sepadan dengan penerangan yang diberikan.
Ketika diminta untuk melukis orang paling cantik dari negara berbeza, program itu menawarkan imej untuk lelaki dan wanita dari 14 negara di seluruh dunia.
Antara yang disenarai termasuk Britain, Sepanyol, Amerika Syarikat (AS), Australia, China, Colombia, Mesir, India, Itali, Jepun, Mexico, Filipina, Afrika Selatan dan Syria.
Ia juga menawarkan pilihan dua wajah manusia paling cantik di dunia.
Pengurus Pemasaran NordChem Health & Beauty, Samantha Haines dalam satu kenyataan berkata: “Matlamat projek ini adalah untuk lebih memahami standard kecantikan dan bagaimana pandangan mengenainya berbeza beza di seluruh dunia.
“Sementara itu bagi kami, kecantikan bermakna lebih daripada penampilan, gaya rambut, atau saiz otot seseorang.
“AI ialah alat luar biasa yang memberi kami gambaran tentang persepsi yang biasa dipegang orang ramai tentang kecantikan dan kesempurnaan di pelbagai negara di seluruh dunia. Kami berharap orang ramai berminat untuk melihat imej-imej ini,” kata Haines. – Agensi