WASHINGTON – Satu kajian mendapati penduduk yang tinggal di kawasan tertentu di dunia mempunyai peluang lebih tinggi untuk hidup sekiranya ‘kiamat’ nuklear berlaku, lapor laman berita Wion News semalam.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Risk Analysis itu menyenaraikan beberapa kawasan termasuk Australia, New Zealand, Iceland dan dua negara pulau di Lautan Pasifik iaitu Solomon serta Vanuatu.
Negara-negara itu diramal mampu menghasilkan makanan mencukupi untuk penduduk masing-masing iaitu faktor utama dalam memulihkan tamadun manusia selepas perang nuklear berlaku.
Pasukan penyelidik telah membandingkan 38 negara kepulauan berdasarkan 13 faktor untuk meramalkan kawasan yang mempunyai peluang terbaik untuk bertahan dalam dunia pasca perang nuklear.
Australia dan New Zealand menunjukkan prestasi terbaik dalam analisis tersebut kerana berada di lokasi yang jauh dari tempat yang berisiko mencetuskan perang nuklear.
Selain itu, Australia mendapat skor tinggi kerana mempunyai infrastruktur baik, lebihan tenaga yang besar, keselamatan kesihatan yang tinggi dan banyak lagi.
Bagaimanapun, hubungan rapat negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain menjadikannya terdedah kepada serangan nuklear. Berdasarkan aspek tersebut, New Zealand didakwa lebih bernasib baik. – Agensi