BEIJING – Sebuah rangkaian salun dari Singapura menerima kecaman di media sosial selepas menggunakan imej orang utan dalam iklan di China, lapor laman berita Thaiger semalam.
Iklan yang dipaparkan oleh salun Strip di Shanghai itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang menuduh syarikat tersebut memalukan wanita kerana tidak membuang bulu badan mereka.
Sebagai tindak balas terhadap kecaman tersebut, syarikat itu kemudian mengeluarkan satu kenyataan.
“Maskot kami diilhamkan oleh ikon pelancongan Singapura yang disukai ramai dan digunakan sejak jenama itu mula diperkenalkan 20 tahun lalu.
“Strip tidak pernah terlibat dalam kempen memalukan untuk mendorong atau mempengaruhi orang ramai menerima perkhidmatan kecantikan yang memberi manfaat kepada kami.
“Jenama kami percaya kepada jenaka baik dan menetapkan standard tinggi dalam semua kempen iklan melibatkan wanita dan lelaki dengan pemikiran paling progresif.
“Penggunaan kempen pengiklanan dan pemasaran yang inventif dan lucu membolehkan kami menghilangkan rasa malu mengenai topik yang sensitif,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Disebabkan reaksi negatif terhadap iklannya, Strip berhenti menggunakan imej orang utan dalam iklan mereka di China dan Hong Kong.
Walaupun mendapat tindak balas negatif, Strip tetap komited terhadap nilai jenamanya dan penggunaan jenaka dalam kempen pengiklanannya.- Agensi