SEBERANG PERAI – “Keadaan ayah masih tidak okey dan sukar tidur. Dia terlalu sedih dengan berita pemergian ibu.”
Itu kata anak sulung mangsa tragedi van persiaran terbabas ketika menuruni Genting Highlands pada Rabu lalu, Ang Meng Hong, 62, ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Machang Bubok, Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Wong Yunn Wen, 42, berkata, dia mendapat tahu mengenai nahas yang menimpa ibunya dan 13 yang lain termasuk ibu saudaranya, Lee Moy, 67, melalui adik lelakinya, Wong Chia Hao, 41.
“Saya tinggal di Switzerland kerana bekerja di sebuah restoran di sana sejak empat bulan lalu. Walaupun jauh, saya memang selalu berhubung dengan ibu menerusi WhatsApp.
“Kali terakhir, dia (ibu) beritahu saya bahawa dia sudah ‘check-out’ (mendaftar keluar) dari hotel di Genting Highlands dan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang,” katanya yang baru tiba di Malaysia awal pagi tadi.
Selain Meng Hong dan Moy, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu turut meragut lima lagi nyawa termasuk pemandu dan kelindan selain mencederakan lapan penumpang lain.
Beritahu Yunn Wen, ibu dan ibu saudaranya memang gemar bercuti, namun tidak menyangka percutian tersebut merupakan kali terakhir buat mereka.
Jelas Yunn Wen, mayat mendiang ibunya dijangka disemadikan menerusi satu upacara pembakaran mayat di Berapit pada Ahad ini manakala mayat ibu saudaranya pula akan dikebumikan di Kulim, Kedah. – KOSMO! ONLINE