KUALA TERENGGANU – Peniaga di negeri mula menyahut cabaran pihak kerajaan untuk menurunkan harga sayur-sayuran dengan masih mendapat keuntungan.
Penurunan harga itu bagi menyahut idea kerajaan berkenaan program Menu Rahmah.
Seorang peniaga sayur di Pasar Chabang Tiga, Mamat Embong, 70, berkata, kesemua 40 jenis sayur yang dijual di gerainya dijual pada harga sehingga RM1 lebih murah daripada pasaran.
“Kobis RM3.50 sekilogram, saya turunkan sebanyak RM1 kepada RM2.50 sahaja mulai hari ini (semalam).
“Sawi pula kini RM5 sekilogram berbanding harga pasarannya RM6,” katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.
Mamat berkata, dia menyedari ramai pelanggannya terkesan dengan kenaikan harga sayur di negeri ini yang mencecah 100 peratus sejak dua bulan lalu.
Tambahnya yang sudah berniaga sayur sejak 35 tahun, dia cuba mengurangkan beban pelanggannya tersebut dengan mengambil inspirasi daripada Menu Rahmah yang diperkenal kerajaan baru-baru ini.
“Tidak boleh terlalu murah kerana kos modal pun sudah semakin tinggi pada masa ini. Pendekatan saya ialah memberi diskaun RM1 setiap kilogram,” ujarnya.