LONDON – Penyerang Arsenal, Eddie Nketiah berharap pasukan tidak lagi ‘tersungkur’ dalam usaha melebarkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) pada aksi bertemu Brentford di Stadium Emirates malam ini.
Sebagai rekod, momentum cemerlang The Gunners telah direntap susulan kekalahan mengejut 0-1 kepada Everton minggu lalu sekali gus menyaksikan jurang mata dengan pencabar terdekat, Manchester City kekal menjadi lima mata.
Menurut Nketiah, kali ini pasukan perlu lebih berwaspada memandangkan perlawanan seterusnya adalah menentang The Citizens pada Khamis depan dengan kedudukan pendahulu mungkin boleh dipintas.
“Semua orang agak kecewa dengan kekalahan yang lepas dan itu adalah perkara normal apabila anda berada dalam kedudukan ini. Sudah tentu kami mahu menang semua perlawanan khususnya di tempat lawan, tetapi situasi sebaliknya yang berlaku.
“Saya harap semua pemain kini lebih bersedia apabila menentang Brentford dan berusaha untuk meraih tiga mata penuh dalam memastikan jurang mata dapat dikekalkan sebelum bertemu City nanti.
“Kita juga perlu menghadiahkan senyuman kepada penyokong kerana mereka sentiasa berada di belakang pasukan pada musim ini dan sudah tentu saya tidak mahu mereka kecewa andai kita gagal meraih keputusan yang diharapkan,” kata Nketiah.
Skuad kendalian Mikel Arteta boleh menarik nafas lega apabila dua pemain utama, Thomas Partey serta Oleksandr Zinchenko sudah cergas sepenuhnya dan tidak mempunyai masalah untuk diturunkan bertemu The Bees nanti. – AGENSI