KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penjara Zon Utara dan Zon Selangor serta kuarters perumahan penjara tersebut berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 4 November.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, lima penjara di zon utara ialah Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah.
Manakala Zon Selangor membabitkan Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.
“Pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.
“Pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara manakala tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain,” katanya pada sidang akhbar harian di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di beberapa penjara dan pusat tahanan melibatkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena, Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai.
Dalam pada itu, PKPD turut dilaksanakan di lokaliti Anjung Teduh Felda Sahabat Lahad Datu berkuatkuasa 24 November hingga 6 November.
“PKPD ini akan melibatkan 544 unit rumah dengan seramai 4,629 penduduk.
“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD,” ujarnya.
Katanya, sedikit kelonggaran akan diberikan untuk aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.
“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak polis.
“Bekalan keperluan makanan bagi yang memerlukan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” tambahnya.
Kerajaan turut melanjutkan PKPD di 6 lokaliti di Semporna, serta satu lokaliti di Kunak bermula 24 Oktober hingga 6 November masih terdapat penularan kes Cvoid-19 di kawasan tersebut.
6 lokaliti di Semporna ialah Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bakau dan satu lokaliti di Kunak ialah Kampung Pangkalan. – K! ONLINE