ENTAH apa penyataan paling tepat yang boleh menterjemahkan betapa Raye atau pemilik nama lengkap Rachel Agatha Keen itu bakal menjadi ‘the next big thing’ dalam dunia muzik global.
Bukan hanya memiliki listrik vokal merdu, Raye handal menyanyi rap, menulis lagu sendiri dan tahu bermain alat muzik, terutama piano.
Semua kualiti tersebut melayakkan dirinya terus dicanang sebagai artis serba boleh yang wajar diangkat namanya.
Disebabkan single berjudul Escapism, namanya melambung tinggi. Lagu tersebut berjaya mendaki tangga pertama carta lagu di United Kingdom.
Ada yang menyifatkan penyanyi itu sebagai jelmaan semula mendiang Amy Winehouse dengan hibrid bakat Lady Gaga dan Nicki Minaj.
Cemerlang, tema tepat
Tujuh tahun sabar menanti dan selepas bermacam masalah melibatkan syarikat rakaman, akhirnnya, Raye muncul dengan album studio penuh pertama berjudul My 21st Century Blues.
Memuatkan lima belas buah trek, Raye membuktikan, jika diberikan kebebasan untuk berkarya tanpa sekatan, tidak lain kecuali magis luar biasa yang dicernakan untuk tatapan dan halwa telinga pendengar.
My 21st Century Blues boleh disifatkan sebagai sebuah diskografi cemerlang yang bersifat sangat peribadi terutama buat pembikinnya.
Menerusi album terbabit, Raye dan pasukan memberi kesedaran tentang perihal perit dilaluinya, termasuklah kemurungan, gangguan seksual dan Body Dismorphic Disorder (BDD).
Penulis secara peribadi menyifatkan My 21st Century Blues sebagai maha karya yang lazim dan dekat buat sesiapa yang mendengar.
Jika kalian berdepan masalah hidup dan berasa keseorangan, inilah album yang boleh bertindak sebagai peneman dan alat timbang tara kewarasan sendiri.
Dari segi gubahan lagu, pilihan tema, kulit album, lontaran vokal, kolaborasi dan bermacam perihal lain, semuanya diadun dengan sempurna dan cukup indah.
Lagu berjudul Escapism tidak mustahil akan menjadi ‘turning point’ dalam karier nyanyian Raye kerana dalam lagunya, terkandung banyak bukti tentang bakatnya yang mungkin selama ini sudah terlepas pandang.
Melodi, macam Lady Gaga
Jika ada kelapangan, tonton dan amati versi live lagu nyanyian Raye itu. Banyak magis termasuklah elemen rap, blues, opera dan dancepop dicernakannya sekali gus membuktikan, dia sememangnya sedang meniti jambatan yang sebenar bergelar bintang pop terhebat dari masa ke masa.
Penulis juga mula menyukai beberapa lagu lain seperti Hard Out Here, Black Mascara, Ice Cream dan The Thrill Is Gone.
Raya menulis dengan terang hati dan tidak terlalu berkias-kias. Untuk itu, dampaknya mudah membekas terus ke hati pendengar. Dia seperti Lady Gaga yang tidak hanya tersepit dengan satu versi persembahan.
Escapism versi akustik yang berlegar dalam YouTube memberi rasa ‘syurga’ di telinga.
Raye sememangnya benar-benar memiliki banyak bakat yang wajar dicanang dunia. Dia selayaknya mendapat pujian tersebut selepas lama bergelut dengan syarikat rakaman lama, Polydor Records dan kini bergerak secara indie.
Dengan kualiti yanhg terzahir menerusi My 21st Century Blues, tidak mustahil Raya akan menerima pengiktirafan besar pada acara besar akan datang seperti Grammy Awards.
Penulis berasakan dia akan menarik perhatian pengundi Grammy, terutama dalam kateogori Lagu Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik menerusi Escapism.