PUTRAJAYA- Karnival Kerjaya MYFutureJobs anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilihat berjaya memberi sinar kehidupan baharu kepada rakyat khususnya yang terkesan ekoran penularan Covid-19.
Sepanjang tahun 2022 sahaja, seramai 294,044 individu telah dibantu mendapat pekerjaan menerusi pelbagai perkhidmatan Perkeso di bawah portal MYFutureJobs yang menjadi tonggak kepada Karnival Pekerjaan Perkeso.
Menurut Nur Farah Hidayah Mohamad Affendi, karnival kerjaya itu telah mengubah kehidupannya selepas kehilangan pekerjaan dalam industri penerbangan ketika penularan Covid-19 tiga tahun lalu.
“Sebelum ini, saya bekerja di Malindo Airways, namun akibat Covid-19, kami telah kehilangan pekerjaan kerana industri penerbangan begitu terkesan dengan penularan pandemik berkenaan.
“Jadi, sepanjang dua tahun itu saya hanya bekerja sendiri sebagai penjual pakaian bagi menampung kehidupan sementara ditawarkan pekerjaan baharu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, Nur Farah Hidayah berkata, pada masa sama, dia juga mencari peluang pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dan berjaya ditawarkan bekerja di syarikat penerbangan MYAirlines.
“Menariknya di portal itu, setiap kali ada temuduga terbuka, mereka akan memaklumkan melalui kiriman emel dan ini membolehkan pencari kerja mengetahui maklumat tentang peluang pekerjaan ditawarkan.
“Nasihat saya, pencari kerja seharusnya menggunakan platform tersebut di mana prosesnya bukan sahaja mudah tetapi banyak peluang pekerjaan ditawarkan di situ,” jelasnya.
Selain itu, Pengarah Pasaran Sumber Manusia, Marriot International Malaysia, Jaclyn Low berkata, sebagai majikan, pihaknya berupaya mencari calon berpotensi bagi memenuhi kekosongan kerja ditawarkan.
“Sebelum ini, proses mencari pekerjaan hanya dilakukan melalui platform dalaman syarikat sahaja tanpa menyertai saluran lain termasuk MYFutureJobs.
“Bagaimanapun, selepas menyertai platform pencarian kerja itu, kami berjaya mencari calon berpotensi melalui kaedah yang begitu mesra pengguna,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Perkeso juga akan melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 yang akan diadakan pada 11 dan 12 Februari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada 11 Februari depan.
Karnival itu dijangka menawarkan lebih 13,000 peluang pekerjaan melibatkan 140 syarikat.
Sebanyak 20 peratus daripada jumlah kekosongan tersebut terbuka kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Karnival itu bakal menyaksikan penglibatan majikan besar seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional, EXIM Bank, UOA Group dan Avisena Healthcare.
Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan disediakan secara percuma seperti penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya.-KOSMO! ONLINE