PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, negeri-negeri yang terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, dan Sabah.
“Bagi Kedah kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk adalah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala kawasan di Pulau Pinang pula adalah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Cuaca buruk turut dijangka di Perak (Hulu Perak, Perak Tengah, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Bentong) dan Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat).
“Seluruh Kuala Lumpur diikuti dengan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) dan Johor (Kluang dan Kota Tinggi) juga diramalkan mengalami ribut petir dan hujan kencang,” katanya.
Tambahnya, kawasan di Sarawak yang diramalkan mengalami cuaca buruk adalah Sarikei (Julau), Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Subis) dan Limbang manakala di Sabah adalah Pedalaman (Sipitang, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran).
Sementara itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di Sarawak selama empat hari bermula 12 Februari ini.
“Kawasan-kawasan yang dijangka mengalami hujan berterusan adalah Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya. – KOSMO! ONLINE