fbpx

Tun Mahathir teruja ditemu ramah peminat cilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Mahathir memuat naik gambar ditemu ramah bersama Umar pada Facebook.

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkongsi keterujaannya apabila ditemu ramah seorang peminat cilik berbakat dikenali sebagai Umar Amirul Sharul Haiccal menerusi satu rancangan di YouTube.

Menerusi hantaran pada media sosial, Dr. Mahathir menceritakan pelbagai pertanyaan yang diajukan oleh kanak-kanak berusia 12 tahun itu, malah beliau memuji Umar yang petah berbicara.

“Tanya Umar, macam mana nak capai umur 97 tahun. Saya jawab kena tunggu lagi 85 tahun lagi lah, baru tahu macam mana boleh capai. Dalam temu ramah tadi, saya cukup seronok dengar celoteh Umar dan dia begitu petah bercakap.

“Banyaklah soalan ditanya umpamanya bagaimana saya di zaman bersekolah, apa pesanan ibu saya, kenapa bina KLCC, Putrajaya, KLIA, pandangan bolehkah jadi ‘influencer’ saja tanpa belajar dan banyak lagi,” katanya pada hantaran tersebut.

Menurutnya, Umar turut bertanyakan kepada beliau mengenai ‘helmet’ Star Wars (The Mandalorian dan Darth Vader) yang diletakkan di dalam pejabat.

“Sebenarnya ‘helmet’ ini dicetak mengguna 3D-printer. Saya berminat dan beli ‘printer’ ini untuk buat sendiri beberapa barang, cumanya perlu belajar program dan sabar tunggu hingga siap. Kalau dahulu saya ukir kayu guna pisau dan tangan, sekarang semuanya pakai mesin. Lebih mudah. Cuma perlu faham dan mahir untuk program mesin saja.

“Semasa bergambar di hujung temu ramah, Umar minta posing dengan ‘mini love’. Sengaja saya usik minta jelaskan apa itu ‘mini love’. Yang saya faham, rapatkan ibu jari dan jari telunjuk itu simbol minta duit.

“Umar terangkan simbol ‘love’ asalnya besar, kena guna dua tangan untuk cantum jadikan ‘love’, tapi ada orang cipta pula simbol ‘love’ dengan dua jari. Pandai dia menjawab,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut menitipkan pesanan kepada kanak-kanak tersebut.

“Rajin-rajinlah belajar supaya masa depan lebih terjamin. Semoga impiannya tercapai suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI