fbpx

Polis cedera dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TUMPAT – Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang khayal kesan daripada air ketum di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kutan, Wakaf Bharu di sini kelmarin.

Selain mabuk ketum, suspek yang berusia 26 tahun itu turut dipercayai memandu dalam keadaan khayal dadah jenis pil epam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam semasa anggota polis yang berusia dalam lingkungan 20-an itu sedang memeriksa kenderaan yang melalui SJR tersebut.

Menurutnya, ketika itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek berada di belakang sebuah kenderaan yang sedang diperiksa anggota polis itu tiba-tiba memecut laju.

“Keadaan itu menyebabkan anggota polis itu dirempuh kereta suspek sebelum tercampak ke seberang jalan. Mangsa yang luka pada lengan, tapak tangan dan dahi dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan dibawa ke Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amran, pemeriksaan lanjut di dalam kereta dipandu suspek menjumpai air ketum sebanyak 500 mililiter.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kini direman selama empat hari bermula semalam.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI