fbpx

Anggota tentera didakwa rogol, amang seksual anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh yang berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun tanpa kerelaannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Disember 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama kira-kira pukul 11 malam di lokasi yang sama pada 28 Disember 2021.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Ujarnya, tertuduh juga adalah bapa saudara kepada mangsa dan melakukan perbuatan itu ketika mangsa dihantar ke rumah tertuduh untuk dijaga isterinya sepanjang waktu persekolahan.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan saksi sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Tertuduh yang diwakili Peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan berpendapatan rendah dan menanggung isteri serta dua anak yang berusia 11 dan 14 tahun.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 16 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI