PETALING JAYA – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun keempat 2022 berkembang 7 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Namun begitu, bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK menyusut 2.6 peratus (Suku Tahun (ST3 2022: 1.9 peratus).
Jabatan Perangkaan menjelaskan, prestasi ekonomi bulanan berkembang sederhana pada suku tahun keempat dengan pertumbuhan 7 peratus pada Oktober, diikuti 5.7 peratus pada November dan terus meningkat kepada 8.3 peratus pada Disember lalu.
Sementara itu, prestasi ekonomi bagi suku tahun keempat tahun lalu telah melepasi paras prapendemik sebanyak 7.2 peratus.
Secara keseluruhan, prestasi ekonomi Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada tahun 2022 berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya yang merupakan pertumbuhan tahunan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 22 tahun (sebelum ini pada 2000: 8.9 peratus).
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi pada suku tahun keempat 2022, dari segi penawaran dipacu oleh kesemua sektor khususnya sektor Perkhidmatan dan Pembuatan.
“Dari segi permintaan, kesemua komponen perbelanjaan menunjukkan prestasi positif yang didominasi oleh penggunaan isi rumah dan Pembentukan modal tetap kasar.
“Dari segi prestasi sektoral, sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan meningkat 8.9 peratus (Suku tahun (ST3 2022: 16.7 peratus) pada suku tahun keempat 2022,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan borong dan runcit (9.8 peratus), Pengangkutan dan penyimpanan (22.6 peratus) dan Makanan dan minuman dan penginapan (25.2 peratus).
“Perkembangan kukuh juga dicatatkan dalam subsektor Perkhidmatan perniagaan (23.7 peratus) dan Hartanah (34.0 peratus).
“Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor Perkhidmatan merosot 2.6 peratus,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE