LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup ganja mampat dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM45,000 di perairan ini pada semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ganja mampat seberat sembilan kilogram (kg) itu ditemui pada kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli kira-kira pukul 10.25 malam.
Menurutnya, Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber yang masuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.
“APMM Kedah dan Perlis kemudian menggerakkan bot peronda yang sedang melakukan Op Aman ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber itu.
“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut dan menukar haluan lalu berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan ke atas guni tersebut mendapati terdapat sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas.
“Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”ujarnya – KOSMO! ONLINE ,”