fbpx

Warga emas hilang ditemui dalam keadaan lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hassan ditemui dalam keadaan lemah selepas hilang hampir dua hari di kawasan hutan Kampung Lubuk Kawah Bukit Batu dekat Kuala Krai.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui dalam keadaan lemah di kawasan hutan Kampung Lubuk Kawah Bukit Batu dekat Kuala Krai hari ini.

Mangsa, Hassan Ab Rahman, 68, ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan penduduk kampung kira-kira 9.45 pagi.

Difahamkan, warga emas itu menghidap alzheimer atau nyanyuk keluar dari rumahnya di kampung tersebut untuk mengambil barangnya yang tertinggal di kawasan hutan sebelum terlupa jalan pulang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Arrafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kehilangan warga emas itu pada pukul 2.22 petang kelmarin.

Menurutnya, operasi pencarian dilakukan dengan segera bersama pegawai dan anggota seramai 10 orang dari Balai Bomba Kuala Krai dan Sungai Durian dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)

“Bomba berjaya mengesan jejak kasar warga emas itu, namun mangsa masih tidak ditemui pada hari kelmarin sehingga pencarian ditangguhkan pukul 6 petang.

“Pencarian mencari mangsa diteruskan semalam, namun masih gagal untuk menemui warga emas itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Muhammad Rizwan, pasukan bomba menyambung pencarian warga emas itu dalam lingkungan 500 meter dari lokasi jejak kasar yang dijumpai pada awalnya.

Katanya, dalam tempoh satu jam pencarian, anggota bomba akhirnya menemui warga emas itu yang sudah tidak mampu berjalan.

“Mangsa ditemui dengan berpakaian lengkap, namun keadaannya sangat lemah.

“Kita mengeluarkan mangsa dari kawasan hutan dengan menggunakan alat pengusung sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi Kosmo! berkata, polis menerima laporan mengenai kehilangan seorang warga emas.

Katanya, polis telah menjalan gerakan mencari mangsa bersama JPBM dan APM. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI