PETALING JAYA – Seramai 36 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berserta peralatan Hospital Medan Malaysia (HMM) seberat 44 tan berlepas ke Turkiye dari Pangkalan Udara Subang, pukul 3 pagi tadi.
Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Hal Ehwal Awam Wisma Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, Majlis Penghantaran Tim OP Starlight (Operasi Pengendalian Hospital Medan Malaysia di Turkiye) itu telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Katanya, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan ATM mengatur gerak petugas dan kelengkapan HMM Tahap Tiga milik ATM ke Turkiye bagi tempoh pengoperasian enam minggu seperti dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam.
“Keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brigedier Jeneral Datuk (Dr) Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye dengan tiga fasa penghantaran bermula hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersil.
“Hospital Medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya hari ini.
Tujuan utama pengoperasian HMM di Turkiye ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan.
“Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong Kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara tersebut yang berada dalam kesukaran ketika ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hospital Medan Tahap Tiga ini juga berkapasiti 60 katil turut dilengkapi dengan kemudahan wad, Bilik Pembedahan (Operation Theatre Room), Unit Rawatan
Rapi (Intensive Care Unit Room), Radiologi dan makmal.
Ia juga menawarkan sembilan kepakaran iaitu Perubatan Primer, Orthopedik, Pembedahan, Anesthesia, Maxilo-Facial, Obsterik & Ginekologi, Pediatrik, Opthalmologi dan Perubatan Kecemasan. – KOSMO! ONLINE