fbpx

Fadhlina perlu segera ‘bangun’, rakyat memerhati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anuar Ahmad

SHAH ALAM – Tindakan proaktif perlu dilakukan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam menangani pelbagai isu pendidikan yang dilihat masyarakat seperti tiada penyelesaian dan hala tuju yang jelas.

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, Fadhlina perlu bangun ‘segera’ dan dilihat sebagai tokoh pemimpin pendidikan yang diyakini oleh rakyat.

Katanya, Fadhlina perlu memimpin pemulihan keciciran pendidikan yang kritikal pasca Covid 19 selain menerajui pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang baru memandangkan pelan sedia ada akan tamat pada 2025.

“Dalam menuju 100 hari sebagai Menteri Pendidikan, satu-satunya tindakan beliau (Fadhlina) yang disambut baik oleh masyarakat apabila membentangkan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM) pada minggu pertama dilantik jawatan tersebut.

“Bagaimanapun agenda tersebut terhenti setakat itu sahaja. Tiada pelan strategik atau pelan tindakan susulan yang dibentangkan untuk meyakinkan rakyat tentang kesungguhan beliau dalam usaha menjayakan tujuh teras KPM tersebut.

“Malah, slogan yang beliau perkenalkan- “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera” dilihat tidak mengambarkan realiti sebenar sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, situasi Fadhlina berbeza dengan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang menjawat Menteri Pendidikan sebelum ini dengan telah menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan guru-guru sendiri yang tidak berpuas hati dengan prestasi pendidikan semasa.

Ujarnya, ini termasuk isu pelantikan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK)
dan pendekatan Fadhlina meluluskan peruntukan KPM kepada sekolah-sekolah yang dilawati sehingga menimbulkan rasa kurang senang pada sekolah lain yang tidak dilawati.

“Begitu juga kritikan tertalu-talu terhadap beliau dan pengurusan KPM dalam isu keberkesanan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), Sistem Pengurusan Identiti (IDME) kekurangan guru, beban guru, ‘little Napolean’ dan yang paling ‘panas’ berkaitan isu silibus sekolah rendah yang terlalu berat dan tinggi.

“Malah keputusan Fadhlina untuk menangguhkan keputusan samada meneruskan atau tidak pelaksanaan sistem pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sehingga akhir tahun 2025 dilihat sebagai keputusan yang tidak wajar kerana tempoh masanya hampir tiga tahun dari sekarang,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar menegaskan beberapa keputusan Fadhlina mula diragui rakyat seperti arahan terbuka supaya pegawai KPM berhenti menyekat dan memberikan amaran kepada guru-guru yang bersuara tentang sistem pendidikan negara di media sosial sehingga kini belum disusuli dengan surat rasmi pekeliling oleh pengurusan tertinggi KPM.

“Selain itu, janji beliau untuk menyelesaikan sepenuhnya isu kekurangan 3,000 guru sebelum bulan Mac 2022 ini di Sarawak dan kemudian di negeri yang lain. Sedangkan hari ini sudah 10 Februari 2023.

“Bolehkah diselesaikan sepenuhnya kekurangan 3,000 guru di Sarawak dalam tempoh masa yang berbaki sebelum masuknya bulan Mac nanti seperti yang dijanjikan?. Justeru, Fadhlina perlu mendapatkan kembali dengan seberapa segera kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau menerajui KPM,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI