fbpx

Penyelenggaraan jalan Persekutuan antara tumpuan Bajet 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (kanan) bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Keadaan jalan Persekutuan yang teruk dan tidak memuaskan antara yang akan diberi tumpuan dalam Bajet 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, isu jalan Persekutuan yang kurang diselenggarakan antara yang kerap diutarakan dalam sesi dialog Belanjawan 2023 di kebanyakan negeri.

“Jalan-jalan negeri dan kampung peruntukannya agak mencukupi. Di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) misalnya untuk penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan peruntukan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pula untuk jalan-jalan kampung.

“Masalahnya ialah bagaimana jalan-jalan Persekutuan kurang diselenggarakan dan ini jadi antara perkara utama yang ditimbulkan pihak yang bertanya termasuk exco kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, beliau berharap Kementerian Kerja Raya (JKR) dapat mengatasi masalah itu sekali gus memberi peruntukan yang dipohon.

“Contoh kita ada Jalan Gerik-Jeli, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan Jalan Tapah-Ringlet di mana jalan-jalan Persekutuan itu kurang diberi tumpuan dari segi penyelenggaraan dan ini (masalah) berlaku di banyak negeri dan ini antara perkara yang saya kira agak besar dan tumpuan patut kita berikan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, antara perkara yang turut diutarakan dalam sesi dialog berkenaan berkaitan bantuan kepada masyarakat Orang Asli termasuk perumahan untuk golongan itu.

“Program bina rumah ini kita maklumkan sebanyak RM1.5 billion telah diperuntukkan tahun lalu yang mana 11,000 unit Program Perumahan Rakyat melibatkan (kos) RM398 juta, 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RM315 juta) manakala program bantuan bina rumah baharu termasuk senarai untuk Orang Asli dan senarai e-kasih sebanyak 14,000 unit.

“Saya yakin ia masih berbaki RM361juta, saya kira boleh diasingkan atas penyediaan untuk Orang Asli. Kita berharap ada lagi perkara yang boleh diberikan untuk manfaat Orang Asli,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI