KUALA LUMPUR – Empat venue sedang dalam pertimbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan sebagai gelanggang alternatif buat Harimau Malaya bagi mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berkata selain Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stadium Negeri Batu Kawan dan Stadium Hang Jebat juga antara yang dipertimbangkan.
“Untuk aksi persabahatan Mac ini, kita masih lagi dalam proses untuk muktamadkan dan soal pasukan pilihan bergantung kepada ketua jurulatih (Kim Pan-gon) untuk buat justifikasi.
“Berkemungkinan besar (Stadium Sultan Ibrahim jadi pilihan), tetapi stadium di Terengganu dan Batu Kawan juga berada dalam radar kita.
“Nak katakan tentang venue, kita ada banyak tawaran, tetapi yang kita nampak Stadium Sultan Ibrahim, termasuk juga di Melaka. Tetapi, stadium terbaik setakat ini adalah Stadium Sultan Ibrahim,” katanya Majlis PengumumanKerjasama FAM x Joma Malaysia serta Pelancaran Barangan Rasmi Liga Futsal Kebangsaan (MPFL), hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Datuk Sri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua penaja termasuk Joma.
“Saya harap komitmen Joma Malaysia ini dapat menjadi inspirasi kepada syarikat swasta di luar sana untuk bekerjasama dengan FAM dalam misi membangunkan arena futsal negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE