PETALING JAYA – Deputi Komisioner (DCP) Datuk Hussein Omar Khan telah dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pertukaran itu membabitkan pegawai kanan PDRM akan berkuat kuasa 13 Mac ini.
Hussein Omar Khan sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dilantik pemangku Ketua Polis Selangor berkuat kuasa 30 Disember tahun lalu menggantikan Datuk Arjunaidi Mohamed yang bersara wajib mulai 2 Januari lepas. – KOSMO! ONLINE