fbpx

River cruise tarikan eko-agro pelancongan terkini Pontian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelawat menaiki bot menyusuri Sungai Pulai Sebatang bagi Pakej My Kerang, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Komuniti Perikanan Pulai Sebatang (MyKP) di sini mengambil inisiatif melibatkan diri dalam kegiatan eko-agro pelancongan dengan menawarkan beberapa pakej lawatan.

Pengerusi MyKP Pulai Sebatang, Ismail Hassan berkata, pakej ditawarkan ialah River Cruise menyusuri Sungai Pulai Sebatang sejauh 2 kilometer dan ­pakej My Kerang bagi melihat ternakan tersebut.

Katanya, pembangunan di jeti nelayan Kampung Pulai Sebatang dilengkapi dengan pembinaan gerai makan, surau, tandas serta jeti dengan kos RM300,000 bawah Pejabat Daerah Pontian.

Menurut Ismail, dengan ada­nya kemudahan tersebut, MyKP Pulai Sebatang berpandangan, perlu ada aktiviti sokongan bagi memastikan projek tersebut memberikan manfaat kepada semua termasuk masyarakat luar.

“Lahirkan pakej menyusuri sungai di bawah pokok bakau, di samping melihat beberapa hidupan lain seperti monyet, lotong, burung-burung, selain siput sedut, gerongan dan sebagainya,

“Laluan sungai Pulai Sebatang yang berbengkang-bengkok mengingatkan kita kepada Su­ngai Kinabatangan di Sabah yang popular dalam kalangan pelancong asing,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Ismail, bagi pekej My Kerang, ia menampilkan aktiviti menyauk kerang di laut Pulai Sebatang, membersihkan kerang secara manual, selain pembelajaran berkaitan hidupan dan habitat yang ada.

“Aktiviti menyauk kerang merupakan sumber pendapatan utama kira-kira 25 orang nelayan yang berpangkalan di sini dan tentunya menarik untuk dikongsi dengan pengunjung ,” ujarnya.

Katanya, kawasan Sungai Pulai Sebatang juga kaya dengan pelbagai spesies burung seperti burung botak, burung camar, bangau dan sebagainya yang juga menjadi tarikan kepada peminatnya.

Menurut Ismail, terdapat 18 bot yang beroperasi membawa pelancong dengan dikenakan bayaran tertentu dengan permulaan hanya pada hujung minggu ketika ini.

“Perbincangan juga sedang dilakukan dengan pelbagai pihak termasuk ejen-ejen pelancongan di Johor Bahru dan Singapura bagi membolehkan mereka membawa pelawat ke Pulai Sebatang,” ujarnya.

Ismail memberitahu, beberapa kemudahan lain dalam perancangan pihaknya seperti dewan terbuka bagi membolehkan taklimat disampai kepada pengunjung terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kami juga merancang menyediakan makanan berasaskan kerang sebagai menu utama samada dimasak, direbus atau dipanggang bagi orang ramai merasai kesegarannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI