KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw kebangsaan akan diumumkan dalam masa terdekat apabila Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan malam ini.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan Datuk Abdul Halim Suleiman itu juga akan memutuskan senarai nama kejurulatihan serta pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia ke temasya Sukan SEA Kemboja 2023 Mei depan.
Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih kebangsaan adalah legenda sepak takraw tanah air yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994, Ahmad Jais Baharun.
Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan mengakui nama tekong emas itu antara nama yang berada dalam pertimbangan badan induk sepak takraw negara bagi mengambil alih kerusi panas tersebut.
“Malam ini Datuk Halim selaku Pengerusi Pemilihan akan bermesyuarat dan berbincang dengan beberapa ahli jawatankuasa yang memilih pemain dan jurulatih. Secara dasarnya, mesyuarat JKK (MSN) tadi memutuskan mengenai jumlah jurulatih dan pemain.
“Antaranya nama Ahmad Jais serta beberapa cadangan lain. Itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan malam ini yang dipengerusikan Datuk Halim,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN (Majlis Sukan Negara) di Bukit Jalil hari ini.
Untuk rekod, nama Ahmad Jais bukanlah asing dalam arena sepak takraw apabila beliau pernah mengemudi pasukan Johor muncul juara pada Kejohanan Piala Emas Khir Johari baut pertama Disember tahun lalu.
Temasya Sukan SEA Kemboja 2023 dijadualkan akan menawarkan 22 pingat emas dalam sukan sepak takraw termasuk acara chinlone. – KOSMO ONLINE!