fbpx

Duduk atas kesan basah kerusi kereta disertu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air atau sabun daripada proses sertu yang terkena pada pakaian tidak dikira sebagai najis. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ada melakukan sertu di kerusi pemandu kereta. Selepas siap dibasuh guna sekali sabun taharah dan enam kali air basuhan biasa, saya dapati masih ada kesan sabun pada kerusi kenderaan tersebut.

Kemudian, saya terpaksa duduk di atas kerusi berkenaan dengan lapik tetapi masih basah seluar saya akibat air sertu itu.Adakah saya perlu sertu diri dan seluar yang terkena kesan basah dari kerusi yang disertu itu, sebab kesan sabun masih belum hilang?

Jawapan:
Islam adalah agama yang mementingkan aspek kebersihan. Allah SWT telah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk bersuci.

Ini bersandarkan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah: 6)

Selain itu, kebersihan ditekankan di dalam hadis: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan Dia menyukai kedermawanan, maka bersihkanlah oleh mu tempat-tempat mu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.”

Sabda Rasulullah SAW: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu mukhaffafah (ringan), mutawassitah (sederhana) dan mughallazah (berat).

Najis mughallazah ialah anjing dan khinzir serta apa daripadanya.

Diqiyaskan hukum khinzir kepada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana khinzir lebih buruk keadaannya daripada anjing.

Najis mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.

Najis mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas.

Najis mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.

Kaedah untuk membersihkan najis mughallazah adalah dengan kaedah sertu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sertu ialah menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan khinzir) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Bersertu adalah cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan khinzir dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu padanya air tanah sama ada najis tersebut najis ‘aini atau najis hukmi.

Sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat.

Hal ini disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, sekiranya proses sertu yang dilakukan dengan betul seperti yang dituntut syarak, maka terangkatlah najis berat yang ada pada kawasan yang disertu itu.

Sekiranya terdapat kesan lain selepas proses sertu tersebut dilakukan, misalnya sabun atau basah setelah sertu, maka ia dihukum pada kesan baharu tersebut iaitu kesan najis sebelum itu sudah terangkat serta suci.

Tuntasnya, dapat disimpulkan bahawa adalah memadai bahagian diri dan seluar yang terkena kesan basah daripada proses sertu tersebut dicuci atau dibasuh seperti biasa dengan air mutlak tanpa disertu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI