fbpx

Camping bukan tempat berkaraoke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AKTIVITI berkhemah (camping) bersama keluarga atau sahabat handai pada masa ini semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai, terutamanya pada cuti umum dan juga hujung minggu.

Lokasi yang dipilih biasanya di kawasan tepi hutan yang terdapat anak sungai berjeram atau air terjun yang tenang, damai serta boleh menghilangkan stres selepas penat bekerja.

Pada masa ini, tempat camping tak kira sama ada popular atau tidak sentiasa penuh dengan orang ramai. Tempahan biasanya perlu dibuat sebulan atau tidak pun, dua minggu sebelum, kalau tidak melepaslah jawabnya.

Bagaimanapun, keseronokan bercamping menjadi tidak seperti diimpikan jika terdapat segelintir pihak yang tidak menghormati privasi orang lain dengan membawa bersama set karaoke, seolah-olah mereka sahaja yang ada di tempat itu.

Lebih parah jika ada yang turut membawa set generator yang besar dan meletakkannya berhampiran khemah orang lain.

Sudahlah bising dengan suara nyanyian yang sumbang dan lebih kepada syok sendiri, memekak hingga tengah malam, ia ditambah pula dengan bunyi generator yang membingitkan telinga.

Penulis sendiri mempunyai pengalaman dengan situasi tersebut yang mengganggu ketenangan dan kedamaian di malam hari yang sepatutnya lebih tenang untuk merehatkan minda daripada penat lelah bekerja dan bersantai bersama anak isteri.

Pada sebelah siang, memang terasa damai dengan suara kanak-kanak dan orang dewasa mandi-manda di sungai, memberikan suasana yang ceria dan penuh dengan nilai kekeluargaan.

Tiba sahaja waktu malam bermula pukul 8 malam, persembahan karaoke yang menyajikan lagu-lagu dangdut berkumandang memecah kesunyian malam, seolah-olah tempat tersebut sebagai pusat hiburan.

Apa yang menyakitkan hati, dendangan lagu-lagu itu berlarutan hingga ke tengah malam dan mengganggu privasi jiran-jiran campers lain yang kesemuanya mahukan waktu itu suasana kerehatan mendamaikan.

Perlu diingat, orang yang datang bercamping hadir bersama anak-anak kecil yang tidak suka dengan bunyi bising yang dicetuskan golongan tidak bertamadun seperti itu.

Apa yang menghairankan, mereka yang berkaraoke itu turut membawa keluarga masing-masing, hatta ada yang datang bersama bayi yang kelihatannya seperti baru lepas pantang bersalin.

Tidakkah mereka fikir perasaan orang lain. Bagaimana jika orang lain berbuat seperti itu di saat mereka inginkan ketenangan jiwa.

Terdengar suara-suara dalam kalangan campers yang meminta agar pemilik tempat camping melarang kemasukan mereka yang menyusahkan orang lain seperti ini pada masa depan. Jangan bawa budaya sebegini, jika mahu berkaraoke, buatlah di rumah.

Kalau dah gian sangat nak buat di luar rumah, masuk ke dalam hutan yang sunyi jauh daripada ketamadunan dan melalaklah dari malam hingga pagi esoknya. Tidak siapa yang larang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI