RABAT – Juara Eropah, Real Madrid tiada masalah untuk melangkah ke pentas final Piala Kelab Dunia selepas mengatasi wakil tuan rumah dari Mesir, Al Ahly 4-1 dalam aksi separuh akhir awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Jurulatih Real, Carlo Ancelotti masih belum gembira dengan sikap yang ditunjukkan para pemainnya walaupun menang dengan defisit gol yang besar pada aksi di Stadium Prince Moulay Abdellah itu.
Pengendali berusia 63 tahun itu kecewa kerana anak-anak buahnya sepatutnya menamatkan perlawanan dengan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga minit ke-90 untuk menambah dua lagi jaringan.
“Ketika mendahului 2-0, pemain-pemain fikir cabaran sudah tamat dan mula leka selepas itu. Mereka kelihatan tidak serius untuk menambah jaringan.
“Mereka merasakan sudah memenangi perlawanan ini dengan keputusan 2-0. Jadi, mereka mula bermain secara santai dan memperlahankan tempo permainan.
“Situasi ini mula berubah selepas pihak lawan dapat menjaringkan satu gol. Selepas itu barulah mereka bangkit sehinggalah mendapat dua lagi gol pada lewat permainan,” kata Ancelotti.
Real mendahului dua gol menerusi Vinicius Junior dan Federico Valverde (m-42 dan m-46) sebelum Ali Maaloul merapatkan kedudukan 1-2 buat Al Ahly pada minit ke-65.
Walaupun Luka Modric gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-87, namun Real masih berjaya menjaringkan dua lagi gol menerusi Rodrygo Goes dan Sergio Arribas di penghujung perlawanan.
Lawan gergasi Sepanyol itu di pentas final pada Ahad ini adalah juara Asia dari Arab Saudi, Al Hilal yang mengejutkan jaguh Amerika Selatan, Flamengo 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir sebelum ini. – AGENSI