TEMERLOH – Dua beradik tidak menyangka percutian ibu mereka, Foong Ah Lan, 67, ke pusat peranginan, Genting Highlands bertukar tragedi selepas van dinaiki bersama 12 penumpang lain terbabas di Kilometer 4.8, Jalan Genting Highlands, Bentong pada Rabu.
Anak mangsa, Mah Hoong Ming, 38 berkata, ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah berkelakuan seperti biasa dengan anak-anak.
“Ibu seorang yang periang dan suka berjalan-jalan. Kali terakhir kami berjumpanya adalah pada Isnin lalu.
“Cuma saya tidak sangka, itu merupakan percutian terakhir dengan ibu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini hari ini.
Semalam Kosmo! Online tujuh maut manakala tujuh lagi cedera selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika menuruni Genting Highlands.
Mangsa yang maut ialah pemandu van, Wong Choun Chiet, 49, dan enam penumpang iaitu Foong Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Wong Ah Moi, 83, Ang Meng Hong, 62, Seow Mee Tin, 72, dan Chan Them Kong, 70.
Kejadian pukul 1.15 tengah hari itu berlaku ketika kesemua 14 mangsa terdiri daripada dua lelaki dan 12 wanita dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Genting Highlands.
Menurut Hoong Ming, walaupun mereka tinggal bersebelahan rumah di Juru, Pulau Pinang, namun ibunya tidak meninggalkan sebarang pesanan sebelum ke Genting Highlands pada Selasa lalu.
Sementara itu, kakak Hoong Ming, Mah Pih Ling, 42, memberitahu, ibunya selalu bercuti bersama ibu saudara yang turut sama terlibat dalam kemalangan itu
“Saya hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa ibu selepas menerima panggilan pada petang semalam (Rabu).
“Memang tidak sangka, kejadian ini menimpa ibu. Kami semua terkejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE