GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan setelah didapati pemiliknya menggajikan seramai 23 kru warga asing tanpa kebenaran di perairan Pulau Kendi di sini semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat ketika pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 10.7 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 8.09 malam.
”Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja berumur antara 21 hingga 46 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, 13 daripada kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
”Bot serta kesemua kru ditahan termasuk lima kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE