Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Gara-gara tular gambar ambulans bersama petugas memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) berhenti di depan sebuah restoran, bandar ini ibarat ‘diserang garuda’ apabila sepi kekurangan pengunjung sejak semalam.
Penyebaran gambar itu dalam media sosial sejak kelmarin menyebabkan orang ramai bimbang datang ke bandar ini kerana menyangka ada pesakit positif Covid-19 yang berkunjung ke restoran itu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata apa yang sebenarnya berlaku ialah ada seorang pelanggan restoran nasi kandar itu yang mengadu sakit dada dipercayai akibat serangan jantung.
“Berikutan itu, ambulan datang untuk membawa lelaki itu ke Hospital Seri Manjung (HSM).
“Kakitangan hospital yang datang perlu memakai PPE sebab ia adalah prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau menularkan berita palsu dan sesiapa berbuat demikian boleh dikenakan tindakan
mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, pemilik Restoran Nasi Kandar Lumut, Dulkibali Jamaludin, berkata kejadian sebenar berlaku ialah satu keluarga datang ke premisnya kira-kira pukul 1.30 tengah hari Selasa lalu.
Katanya, tidak lama kemudian ketua keluarga berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 50-an mengadu sakit dada dan isterinya kemudian meminta bantuan pihaknya bagi menghubungi ambulans.
Menurut beliau, ambulans datang tidak lama kemudian dan membawa lelaki itu ke HSM dan pada masa sama ada individu mengambil gambar berkenaan dan memyebarkannya dalam media sosial.
“Akibat penyebaran gambar itu, orang ramai takut datang ke Lumut sebab menyangka ada pesakit Covid-19 di sini, termasuk restoran saya ini tiada yang datang. Ramai peniaga lain marah saya disebabkan kejadian itu kerana premis mereka tidak dikunjungi pelanggan.
“Saya sudah dapatkan penjelasan HSM dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung yang mengesahkan pelanggan restoran saya itu bukan pesakit Covid-19,” katanya yang turut memberi penjelasan perkara berkenaan dalam kumpulan WhatsApp dan Facebook peniaga di Lumut.
Beliau berkata, antara 50 hingga 60 peratus perniagaan di bandar Lumut merosot dalam tempoh dua hari ini berikutan penularan gambar tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Lumut, Sabaruddin Hassan, meminta semua pihak tidak salah faham terhadap kehadiran ambulans bersama petugas membawa seorang pelanggan restoran yang mengadu sakit dada.
“Harap tidak cepat melatah. Kesian kepada para peniaga seperti kami, kesannya agak ketara,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial semalam. – K! ONLINE